KLIKKLIK

Biopsy Fnac | TIROID DAN ANDA(ORI)

Sumber FB Grup Tiroid dan Anda (ori) 

Boleh dikatakan, setiap mereka yg ada bengkak Tiroid dan dilihat ada kelainan pada result Ultrasound, doc akan cadangkan untuk buat Biopsy. Iaitu mengambil sedikit sample pada tisu kalenjar Tiroid dan diuji untuk mengesan kehadiran sel kanser. 

Ada yg kata Biopsy tak sakit. Ada pulak yg kata sakit. Ada yg kata sakit sikit ada yg kata sakit sangat. 

Kenapa boleh jadi macam tu? 

Menurut Prof Rohaizak Muhammad (UKMSC) 

Bergantung kepada orang yang membuatnya. Memang tak bagi bius setempat sebab jarumnya sama besar.

Ada kes tertentu, dia pakai jarum yang besar atau “gun”, buat trucut biopsy. Kalau yang tu bagi bius setempat.

Jenis-jenis Biopsy:

Biopsy ni banyak bentuk. Paling kecil, biopsy jarum halus fnac. Cara ni hanya guna jarum yg buat ambil darah.

Cara kedua tisu diambil lebih besar trucut / core biopsy, biasanya inject ubat bius kat kulit sedikit. Jarang dilakukan utk tiroid tapi mungkin dilakukan utk bengkak kelenjar.

Cara ketiga ialah biopsy secara operation buang sebahagian dari bengkak incision biopsy - juga jarang dilakukkan

Kalau semua cara diatas tak berjaya memberi diagnosis yg conclusive, barulah kita buang kelenjar atau bengkak tiroid utk menentukan kanser atau tidak. Excision biopsy atau lobectomy atau hemithyroidectomy

Biopsi 1 dan 2 dilakukan supaya kanser dpat didiagnos lebih awal dan membolehkan hanya sekali operation

Kalau biopsy 3 dan 4, lepas operation didapati ada kanser, pesakit kena datang utk operation kali kedua, utk buang semua thyroid

-Prof. Rohaizak Muhammad


RAWATAN TIROID ELAK KOMPLIKASI KEPADA IBU,BAYI

SUMBER : BH ONLINE
Oleh Nasuha Badrul Huzaini
nasuha@bh.com.my
KONGSI ARTIKEL


SUDAH menjadi kebiasaan untuk bakal ibu dan bapa melakukan semua yang termampu sebagai persediaan untuk menyambut kelahiran bayi mereka.

Daripada menghadiri kelas antenatal, membeli-belah untuk barangan keperluan penjagaan bayi, hinggalah memilih warna yang paling sesuai untuk bilik bayi, semuanya dilakukan bersama.

Semua inginkan permulaan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Namun, walaupun kita sudah berusaha sedaya upaya, mungkin ada sesuatu yang tidak dijangka berlaku ketika kehamilan kerana sesetengah perkara adalah di luar kawalan.

Ia merujuk kepada perubahan besar ke atas tubuh seseorang wanita untuk disesuaikan dengan bayi yang sedang membesar di dalam kandungan.

Ini termasuklah kewujudan organ berbentuk rama-rama di pangkal leher iaitu kelenjar tiroid yang sering tidak mendapat perhatian.

Pakar Perunding Endokrinologi, Profesor Dr Nor Azmi Kamarudin memberi penjelasan lanjut mengenai perkara berkenaan kepada BH Sihat.


PAKAR Perunding Endokrinologi, Profesor Dr Nor Azmi Kamarudin.
Kelenjar Tiroid

Beliau yang juga Pengerusi Program Kesedaran Hipotiroidisme, berkata kelenjar tiroid yang sihat dan berfungsi dengan baik penting untuk semua orang, tetapi lebih penting kepada wanita pada usia kehamilan mereka.

"Apabila seseorang wanita itu hamil, tubuhnya memerlukan hormon tiroid yang mencukupi untuk menyokong keperluan metaboliknya yang semakin meningkat, serta untuk bayi dalam kandungan. Kelenjar tiroid yang sihat mampu memenuhi keperluan untuk hormon tiroid yang meningkat bagi ibu dan bayinya secara semula jadi.

"Ada sesetengah wanita mungkin mengalami masalah di mana kelenjar tiroid mereka tidak mampu untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat ini lalu membawa kepada hipotiroidisme maternal - sejenis penyakit tiroid di mana hormon tiroid yang dihasilkan tidak mencukupi.

"Ini boleh membawa kesan serius kepada ibu dan bayi, malah bahayakan kesihatan mereka," katanya baru-baru ini.


WANITA hamil yang mengalami masalah kelenjar tiroid mungkin membawa kepada hipotiroidisme maternal berikutan keperluan hormon tiroid yang meningkat bagi ibu dan bayi.
Kehamilan dan komplikasi ketika kelahiran

Menurutnya lagi, apabila bekalan hormon tiroid di dalam darah tidak mencukupi, pelbagai fungsi tubuh boleh terjejas hingga menyebabkan simptom seperti keletihan dan berat badan meningkat.

"Namun, ibu hamil selalunya sudah lali dengan simptom ini dan mungkin menganggapnya sebagai kesan biasa daripada kehamilan. Sesetengah wanita mungkin menghidap hipotiroidisme ringan (subklinikal) di mana simptomnya sama ada ringan atau langsung tiada.

"Ini boleh menyebabkan penyakit ini tidak dikesan dan seterusnya tidak dirawat. Jika keadaan ini berterusan, mungkin membawa kepada hipertensi akibat kehamilan, kematian bayi sewaktu lahir, kelahiran pramatang dan pemisahan plasenta dari dinding rahim.

"Semua komplikasi ini boleh mengancam nyawa anda dan bayi anda," jelasnya.

Selepas melahirkan bayi

Tambahnya lagi, sesetengah wanita yang mempunyai kelenjar tiroid normal mungkin mengalami tiroiditis selepas bersalin atau postpartum thyroiditis (PPT), sejenis keradangan pada kelenjar tiroid dalam tahun pertama selepas melahirkan bayi.

Beliau berkata, walaupun sebab utama PPT tidak jelas tetapi ada kemungkinan bahawa wanita yang mengalami masalah ini sebenarnya mempunyai masalah tiroid autoimun yang tidak dikesan yang menjadi semakin teruk selepas melahirkan bayi akibat perubahan pada fungsi imun.

"Malangnya PPT sukar dikesan kerana keadaan ini biasanya dianggap sebagai tekanan menjaga bayi baharu lahir dan gangguan perasaan selepas bersalin yang boleh menyebabkan ketidakselesaan dan perubahan emosi ibu.

"Selain itu, wanita ini juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk membentuk hipotiroidisme kekal dalam masa lima hingga 10 tahun selepas mengalami PPT," katanya.


HIPOTIROIDISME maternal adalah penyakit tiroid yang paling lazim berlaku ketika hamil.
Ketahui status tiroid

Dr Nor Azmi menegaskan bahawa hipotiroidisme maternal adalah penyakit tiroid yang paling lazim berlaku ketika hamil.

Namun, wanita biasanya tidak sedar akan penyakit ini. Oleh itu, mereka meneruskan kehidupan dengan penyakit yang tidak dikesan dan dirawat.

Beliau menasihatkan supaya wanita hamil menjalani ujian darah yang ringkas di mana-mana klinik atau hospital untuk mengesan sekiranya anda mempunyai masalah ini.

Mereka mungkin menghadapi risiko jika mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit tiroid, pernah mengalami keguguran atau kelahiran pramatang, diabetes Jenis 1 atau penyakit autoimun lain.

Jejas perkembangan otak

"Kebiasaannya, wanita yang terbabit mungkin diberi pil tiroksin, sejenis hormon tiroid sintetik yang membantu mengawal hipotiroidisme. Pil ini penting untuk kesejahteraan bayi dalam kandungan," katanya.

Beliau berkata, hipotiroidisme boleh membawa kesan serius kepada tumbesaran dan perkembangan bayi anda.

"Apabila tidak dirawat, hipotiroidisme menjejaskan perkembangan otak, terutamanya pada trimester pertama. Ini adalah satu tragedi kerana masalah ini sebenarnya boleh dirawat dengan mudah dan boleh dicegah.

"Kita mesti memandang serius terhadap hipotiroidisme demi keselamatan ibu yang hamil dan bayi mereka. Mereka mesti digalakkan menjalani pemeriksaan hipotiroidisme kerana ia penting supaya mereka faham peranan tiroid dalam mengekalkan kehamilan dan bayi yang sihat," katanya.


INFO: Simptom Hipotiroidisme

Keletihan
Peningkatan berat badan mendadak
Sembelit
Lebih sensitif kepada kesejukan berbanding orang lain


Copy paste ~ Kpah k-poh ~

GANGGUAN KELENJAR PUNCA TIROID

SUMBER : BH Online
Oleh Nadia Hamid
KONGSI ARTIKEL

KEBANYAKAN orang sentiasa menyalahkan aktiviti pengambilan makanan tinggi kalori seperti nasi lemak, burger dan makanan berminyak sebagai punca penyakit jantung dan kegemukan terlampau.

Mereka beranggapan tekanan di tempat kerja, keletihan terlampau, kurang tidur, pemikiran negatif dan perhubungan komunikasi serta kegagalan dalam perhubungan sosial sebagai punca kemurungan.

Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Prof Dr Nor Azmi Kamaruddin, berkata ramai tidak menyedari mereka sebenarnya sakit dan mengalami masalah gangguan kelenjar tiroid tidak aktif, hipotirodisme.

Katanya, ini berikutan gejala sering dialami pesakit hipotiroidisme hampir sama dengan gejala penyakit lain seperti kegemukan, kemurungan, keresahan terlampau, menggeletar dan sakit sendi.


PESAKIT digalakkan membuat pemeriksaan awal bagi penyakit tiroid.
"Biasanya orang menganggap gejala tiroid sebagai kesan daripada tekanan, gaya hidup tidak sihat atau penuaan.

"Wanita misalnya, beranggapan masalah dihadapi disebabkan perubahan hormon dan emosi. Bagaimanapun, kajian menunjukkan wanita biasanya lebih mudah mendapat serangan hipotiroidsme dengan satu daripada lapan wanita berisiko menghidap masalah kelenjar tiroid tidak aktif itu," katanya.

Berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), lebih 300 juta orang di seluruh dunia mempunyai masalah gangguan tiroid dan tidak mendapatkan rawatan berikutan menganggapnya sebagai masalah biasa.

Sementara itu, laporan dikeluarkan Pertubuhan Klinikal Endokrinologi Amerika (The American Association of Clinical Endocrinologists) menunjukkan kira-kira 15 juta penduduk Amerika tidak didiagnos daripada penyakit itu.

Pakar perubatan mengaku mereka gagal mengesan penyakit pada peringkat awal berikutan pesakit sendiri tidak menjalankan pemeriksaan lanjut ketika mendapat simptom penyakit.

Pesakit hipotiroidisme di negara kita turut mengalami nasib yang sama, namun masyarakat masih belum sedar dan kurang mengambil berat usaha menjalani pemeriksaan lanjut untuk mencegahnya daripada awal.

Kajian MEMS terhadap pesakit di Hospital Bahagia Ulu Kinta (Tanjung Rambutan) misalnya, turut mendapati lapan peratus daripada pesakit jiwa mempunyai masalah kelenjar tiroid.

Selain itu, Dr Nor Azmi berkata, penyakit berkenaan kerap menyerap individu berusia lebih 50 tahun dengan kekerapan dua kali ganda dalam kalangan wanita berbanding lelaki.

Begitu juga mereka yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit sama perlu berhati-hati dan membuat pemeriksaan atau ujian darah lebih awal bagi mengesan masalah yang dihadapi dengan segera.

Katanya, pesakit berisiko mengalami komplikasi apabila kelenjar tiroid tidak aktif berikutan hormon tiroid dihasilkan terlalu sedikit dan tidak mencukupi.

Selain itu, pesakit terdedah kepada risiko penyakit lain seperti jantung, sembelit dan kanser usus.

Gangguan lain, termasuk kanser tiroid dan tekanan darah tinggi serta gangguan ke atas kelenjar hipothalamus atau kelenjar pituitari bagaimanapun kes ini jarang berlaku.

"Bagi ibu mengandung yang alami gangguan tiroid, mereka berisiko melahirkan anak dengan tahap kecerdasan rendah terutama mereka yang sudah melepasi lima kali tahap sasaran IQ (kecerdasan).

"Anak tadi cenderung menghadapi masalah hilang fokus, gagal menumpukan perhatian terhadap sesuatu perkara sehingga menyebabkan perkembangan sosial serta pembelajaran mereka terganggu," katanya.


PESERTA menjalani ujian darah pada kempen kesedaran hipotiroidisme. - Foto Amirudin Sahib
Dr Nor Azmi berkata, pesakit boleh menjalani kehidupan normal sekiranya mereka mendapatkan rawatan dalam jangka masa panjang dan bergantung terhadap pengambilan pil atau rawatan yang ditentukan doktor.

Pesakit tidak perlu melakukan pembedahan kecuali untuk kes tertentu dan berisiko menyebabkan penyakit lain seperti kanser.

Sehubungan itu, Dr Nor Azmi menyarankan orang ramai supaya melakukan ujian pemeriksaan tiroid dan ujian darah dengan segera di mana-mana lokasi klinik, hospital kerajaan atau swasta.


Copy paste ~ Kpah k-poh ~