KLIKKLIK

Kosmo! Online- AF [Pemfibrilan Atrium] mengundang strok

PESONA


Penglihatan kabur, badan terasa kebas




JIKA anda mengalami degupan jantung yang pantas di luar kebiasaannya, segeralah berjumpa dengan doktor kerana anda mungkin mengalami Pemfibrilan Atrium (AF) iaitu salah satu penyumbang kepada strok.
Namun, tidak semua orang menyedari perkara tersebut dan akhirnya AF tidak dapat dikesan pada peringkat awal lalu menyebabkan serangan strok berlaku.
AF kini merupakan keabnormalan degupan jantung yang biasa dalam kalangan orang dewasa di seluruh dunia. Di negara-negara Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat sahaja seramai sembilan juta orang dilaporkan diserang penyakit itu.
Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi Institut Jantung Negara, Dr. Razali Omar berkata, AF dapat dikesan apabila jantung berdegup dengan tidak sekata, sama ada terlalu pantas atau terlalu perlahan.
“Ramai penghidap AF ini tidak menunjukkan simptom terutamanya apabila degupan jantung mereka tidak terlalu pantas.
“Namun, simptom yang biasa adalah seperti pening kepala, sakit dada dan sukar bernafas,” katanya ketika hadir di Kempen 1 Misi 1 Juta Mendalami Punca Strok baru-baru ini.
Oleh itu katanya, adalah sangat penting untuk merawat AF dengan kadar segera. Mereka yang mempunyai gejala AF berisiko hingga lima kali ganda lebih tinggi diserang strok berbanding mereka yang tiada masalah AF.
Strok yang disebabkan AF adalah lebih serius dan dikaitkan dengan lebih banyak kehilangan upaya berbanding strok yang bukan disebabkan AF.
“Bagaimana mahu memastikan seseorang itu mempunyai gejala AF? Kebiasaannya denyutan jantungnya dalam keadaan rehat adalah 150 manakala ketika berjalan pula adalah 180.

PESAKIT strok yang mengalami gangguan pada upaya anggota tubuh memerlukan banyak sokongan ahli keluarga untuk menjalankan kehidupan seharian. - Gambar hiasan


“Risiko AF ini meningkat dengan pertambahan usia dan ia menyerang satu peratus orang dewasa di seluruh dunia. Seorang daripada empat orang dewasa berusia 40 tahun ke atas akan berhadapan dengan keadaan tersebut,” jelasnya.
AF kebiasaannya berlaku kepada mereka yang mempunyai sakit jantung atau berkaitan dengannya seperti kegagalan fungsi jantung. Ia sangat jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Kadangkala sesetengah kes AF tiada penyebab yang jelas namun beberapa faktor gaya hidup boleh mencetus risikonya iaitu tekanan darah tinggi, diabetes melitus, mempunyai kelenjar tiroid terlampau aktif, kegagalan jantung atau mengambil alkohol terlalu banyak.
Strok berlaku dengan gejala AF apabila darah berkumpul dan tidak dapat mengalir kerana atrium tidak berfungsi dengan baik.
Darah berkumpul di dalam atrium dan membentuk darah beku yang melalui aliran darah. Darah beku itu menyekat aliran darah ke otak lalu menyebabkan strok.
“Strok boleh dikatakan sama seperti serangan jantung tetapi dalam hal ini ia menyerang otak. Darah perlu mengalir ke seluruh badan dan hingga ke otak bagi membolehkan ia berfungsi dengan baik.
“Jika aliran darah ini disekat oleh darah beku, otak akan kehilangan bekalan tenaga lalu menyebabkan kerosakan otak. Ia boleh membawa kepada kehilangan upaya atau kematian,” jelasnya.
AF merupakan faktor risiko utama penyebab strok. Di seluruh dunia, seramai tiga juta orang mendapat strok berkaitan AF setiap tahun iaitu sama dengan seorang dalam tempoh 12 saat.

Hamidon, Razali dan Pengarah Urusan Boehringer Ingelheim (M) Sdn. Bhd., Cheong Yee Kok ketika pelancaran 1 Misi 1 Juta Mendalami Punca Strok.


Tidak sedar
Kira-kira 40,000 rakyat Malaysia diserang strok setiap tahun, tetapi tidak ramai yang sedar bahawa mereka mempunyai risiko besar terhadap penyakit tersebut.
Hanya sebilangan kecil yang maklum mengenai tanda amaran atau mengetahui apa yang patut dilakukan sekiranya disyaki mengalami strok.
Sementara itu, Presiden Persatuan Neurosains Malaysia, Prof. Dr. Hamidon Basri memberitahu, mengalami serangan strok tidak bermakna berakhirnya hidup seseorang itu.
“Strok boleh disembuhkan. Anggap sahaja ia satu permulaan yang baru. Strok boleh disembuhkan walaupun separuh daripada otak mengalami kerosakan.
“Serangan strok sememangnya boleh mengubah kehidupan seseorang untuk sepanjang hayat. Jika sebelum ini mereka boleh berdikari tetapi apabila diserang strok, mereka mungkin mengalami kelumpuhan yang menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada mereka yang sihat,” katanya yang juga seorang pakar runding neurologi
Meskipun umum mengetahui kewujudan penyakit itu namun tidak ramai yang boleh menentukan kekerapan serangannya terhadap mangsa.
“Jangan sesekali memandang ringan terhadap penyakit ini kerana ia mampu mengubah hidup seseorang. Pesakit strok tidak mampu berdikari dan memerlukan penjagaan rapi sepanjang hayat,” ujarnya.
Tambah Hamidon, strok boleh berlaku dengan dua cara berbeza iaitu apabila salur darah di dalam otak pecah (strok berdarah) dan apabila salur darah tersekat (strok iskemia).
WALAUPUN sesetengah penghidap strok kehilangan upaya, ia masih boleh dirawat.


Ia berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran sehinggalah seseorang itu mengalami lumpuh sebelah badan sama ada di sebelah kanan atau kiri.
Namun, bukan semua jenis strok menyebabkan lumpuh kerana gangguan saraf berlaku jauh daripada bahagian otak yang mengawal pergerakan.
“Apa yang boleh dilakukan adalah mengawal faktor utama yang boleh menyumbang kepada strok iaitu diabetes, darah tinggi, paras kolesterol dan tabiat merokok.
“Terus ke hospital jika diserang strok kerana otak akan rosak jika proses mendapatkan rawatan dilengah-lengahkan,” pesannya.
Mengurus AF lebih fokus kepada mengurangkan risiko strok melalui pencairan darah atau rawatan anti trombotik dan memulihkan kadar degupan jantung normal.

1 comment:

nur said...

semoga masayarakat kita lebih aware
ALL IN ONE