KLIKKLIK

Tumit kaki sakit

PLANTAR fasciitis ialah penyebab sakit pada tumit kaki yang paling kerap terjadi di kalangan orang dewasa. Kita selalu terkeliru di antara plantar fasciitis dan ‘heel spurs’.
Sebenarnya plantar fasciitis merujuk kepada sindrom sakit pada tumit kaki yang terjadi akibat radang pada tisu plantar yang membentuk lengkok pada tapak kaki, manakala ‘heel spur’ merujuk kepada tulang berbentuk duri pada tulang tumit (calcaneum) di mana tisu plantar melekat.

Boleh dikatakan 70 peratus daripada pesakit yang ada masalah plantar fasciitis mempunyai ‘heel spur’ dalam X-ray kaki mereka.

Bila seseorang mengalami plantar fasciitis, tisu plantar pada tumit kaki mungkin mengalami radang (tendonitis) atau kemerosotan degeneratif (tendinosis) dan aktiviti normal seseorang itu seperti berjalan atau berlari akan menyakitkan tumit.


Simptom plantar fasciitis selalunya teruk pada waktu pagi selepas bangun tidur. Ini kerana pada waktu pagi tisu plantar menjadi ketat dan berpijak ketika berjalan merenggangkan tisu fiber itu. Selepas berjalan beberapa langkah, tisu fiber itu menjadi longgar dan sakit berkurangan. Namun, sakit akan kembali jika pesakit berjalan atau berdiri terlalu lama.

Plantar fasciitis disebabkan radang atau kecederaan tisu plantar pada tapak kaki yang mengekalkan bentuk lengkok pada kaki kita.

Ketika berpijak sama ada berjalan atau berlari, tisu plantar menyebarkan beban berat badan ke seluruh tapak kaki. Oleh itu bebanan atau stres ditanggung tisu plantar sangat tinggi.

Plantar fasciitis juga boleh terjadi pada seseorang yang mengalami peningkatan berat badan secara mendadak dan melakukan aktiviti riadah seperti berlari.

Dalam kes berlari, plantar fasciitis terjadi akibat kecederaan tisu plantar pada tapak kaki kesan beban hentakan berulang-ulang ketika berlari.

Keadaan lain yang boleh menyebabkan sakit tumit kaki yang hampir serupa ialah tarsal Tunnel Syndrome. Keadaan ini disebabkan satu urat saraf pada tapak kaki yang terhimpit ketika ia melalui terowong tarsal yang sempit.

Antara penyebab lain seperti kepatahan tekanan, Reister’s Syndrome, ankylosing spondylitis dan nekrosis tisu lemak tumit.

Rawatan untuk plantar fasciitis ialah berehat untuk jangka masa tertentu dan mengurangkan radang pada tisu fiber.

SETERUSNYA 

No comments: