KLIKKLIK

Berhati-hati mengambil ubat ketika kehamilan | Kementerian Kesihatan Malaysia

Berhati-hati mengambil ubat semasa kehamilan

Kehamilan sudah tentu merupakan saat yang dinanti-nantikan bagi setiap pasangan yang berumah tangga. Namun, dalam keadaan tertentu, penyakit dan pengambilan ubat-ubatan semasa kehamilan merupakan perkara yang tidak dapat dielakkan.
Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada penggunaan ubat semasa hamil. Ubat-ubatan perlu diambil untuk merawat penyakit biasa seperti demam, selesema, batuk, jangkitan atau lain-lain penyakit ringan. Bagi ibu hamil yang mengalami masalah kesihatan kronik pula, pengambilan ubat-ubatan diperlukan untuk mengawal dan mengekalkan kesihatan sepanjang kehamilan. 
Perubahan hormon dan juga fisiologi ibu hamil, proses metabolisma dan proses penyingkiran ubat daripada tubuh ibu hamil mungkin mengalami sedikit perubahan. Oleh itu, ibu hamil perlu mengambil langkah berwaspada ketika mengambil sebarang ubat-ubatan terutamanya pada trimester pertama kehamilan, iaitu 3 bulan pertama kehamilan.
Trimester pertama kehamilan adalah kritikal di mana berlakunya proses pembentukan organ-organ penting bagi janin di dalam kandungan. Janin amat sensitif kepada ubat-ubatan yang boleh mengakibatkan kecatatan kongenital. Pengambilan sesetengah ubat dalam tempoh ini mungkin menyebabkan sama ada keguguran atau kecacatan janin.
Justeru, ibu-ibu hamil disarankan supaya berhati-hati dalam pengambilan ubat-ubatan ketika hamil. Walaupun sesetengah ubat telah dikategorikan sebagai selamat untuk diambil ketika hamil, ubat harus diberikan kepada ibu hamil hanya jika perlu dan dalam dos yang minima.
Terdapat juga keadaan di mana kehamilan berlaku tanpa dirancang dan tanpa pengetahuan si ibu. Oleh itu, wanita dalam lingkungan usia produktif hendaklah sentiasa prihatin dan berbincang dengan ahli profesional kesihatan berkaitan risiko dan faedah ubat-ubatan yang mereka ambil, termasuk ubat am yang boleh dibeli sendiri tanpa preskripsi (OTC).
Sekiranya anda dipreskripsikan dengan sebarang ubat-ubatan baru, pastikan anda berbincang dengan doktor atau ahli farmasi tentang keselamatan ubat tersebut sekiranya anda hamil. Sesetengah ubat mungkin perlu dihentikan pengambilannya, ataupun ditukarkan kepada rawatan ubat lain sepanjang tempoh kehamilan. Ahli profesional kesihatan akan memberikan penerangan berkaitan risiko dan faedah ubat yang baru dipreskripsikan kepada diri anda dan juga janin dalam kandungan.
Vitamin prenatal
Kebanyakan vitamin prenatal yang disarankan oleh doktor atau ahli farmasi adalah selamat diambil ketika kehamilan. Namun begitu, ramai wanita hamil percaya bahawa sebarang produk ‘semula jadi’ adalah selamat untuk diambil ketika hamil untuk melegakan simptom-simptom kehamilan seperti loya, sakit belakang, keletihan, dan lain-lain.
Perlu diingatkan bahawa terdapat sesetengah sediaan herba dan suplemen tidak dibuktikan secara kajian klinikal dalam menentukan keselamatan untuk diambil semasa kehamilan. Kebanyakan produk ini tidak pernah diuji keberkesanannya serta kesan kepada wanita yang sihat, apatah lagi dalam kalangan wanita hamil. Oleh itu, adalah penting untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sebelum memulakan sebarang suplemen atau ubat-ubatan alternatif semasa hamil.
Ubat-ubat yang telah sedia diambil sebelum hamil
Bagi sesetengah wanita yang menghidapi penyakit kronik, mereka perlu mengambil ubat bagi tujuan rawatan penyakit, sebagai contoh, asma, sawan (epilepsy), tekanan darah tinggi, kemurungan dan sebagainya. Kebanyakan pesakit ini perlu meneruskan pengambilan ubat-ubatan untuk mengekalkan tahap kesihatan ketika hamil. Sekiranya keadaan ini tidak dirawat, kesihatan wanita hamil atau janin mungkin akan terancam.
Wanita hamil dalam situasi ini perlu berbincang dengan doktor untuk memastikan pilihan ubat yang selamat diambil sepanjang kehamilan. Doktor akan merawat pesakit selepas menimbangkan antara faedah dan potensi risiko ubatan tersebut kepada ibu mahupun janin.
Kesimpulan
Kebanyakan kesan-kesan mudarat ubat tertentu terhadap janin dikesan daripada kajian atau laporan yang dijalankan. Sebagai contoh, ubat Thalidomide dan Isotretinoin boleh menyebabkan kecacatan kepada bayi sekiranya diambil oleh ibu semasa hamil. Ubat tersebut hendaklah dielakkan pengambilannya oleh wanita hamil dan wanita yang merancang untuk hamil.
Perkembangan teknologi komunikasi yang berkembang dengan pesat pada zaman ini membolehkan pengguna mendapatkan maklumat berkaitan ubat-ubatan melalui pelbagai sumber bacaan. Namun awas, jangan membuat keputusan berdasarkan hasil bacaan anda sahaja. Ibu yang hamil dinasihatkan supaya berbincang dengan pengamal perubatan mahupun ahli farmasi sebelum mengambil sebarang jenis ubat, vitamin, produk herba termasuk makanan tambahan atau sebarang suplemen yang dijual dalam pasaran atau dalam media sosial.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, orang awam boleh hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) di talian bebas tol 1-800-88-6722. NPCC beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang.

Disediakan oleh:

Rabiatul Salmi bt Md Rezal
Pegawai Farmasi
Klinik Kesihatan Datuk Kumbar,
Alor Setar, Kedah.

No comments: