KLIKKLIK

Doc Hana Hadzrami | Fakta Pembiusan

Fakta tentang pembedahan dibawah pembiusan:


SEBELUM PEMBEDAHAN (Pre-operation)

🔹Pesakit perlu berpuasa sekurang-kurangnya 6 jam, namun dibenarkan minum air kosong (teh tarik atau milo ais tak termasuk) sehingga 2 jam sebelum pembedahan. Usah tipu doktor bius tentang ini kerana yang terbakar paru-paru akibat termasuk asid perut nanti anda sendiri, bukan doktor. 

🔹Pesakit perlu berhenti merokok sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum pembedahan supaya paru-paru boleh berfungsi dengan baik sepanjang pembiusan, lebih-lebih lagi selepas pembedahan. Jika paru-paru bermasalah, nyawa anda boleh terancam.

🔹Pastikan anda faham tentang pembedahan. Usah turunkan tandatangan tanpa mengetahui prosedur apa yang bakal dilakukan. Sebaiknya bincang tentang pembedahan dengan doktor yang bakal membedah anda, bukan dengan doktor lain.

🔹Sila beritahu semua masalah perubatan yang anda ada dan semua ubat yang anda ambil termasuk maklumat alahan anda. Beritahu juga jika anda ada mengambil herba atau ubatan tradisional kerana ia memberi kesan kepada fungsi organ dan boleh menyebabkan pendarahan berlebihan. Jika anda merokok, mengambil alkohol atau mempunyai sebarang penyakit berjangkit, usah sorokkan maklumat ini.

🔹Bincangkan tentang cara pembiusan yang terbaik untuk anda dengan doktor bius. Jika doktor bius mencadangkan bius tambahan (epidural atau pembiusan regional), ada baiknya anda ambil demi mengurangkan kesakitan selepas pembedahan. Fahamkan tentang kesan sampingan bius serta risiko yang mungkin terjadi, terutama jika anda ASA* 3 dan keatas.

🔹Tanggalkan mekap, pewarna kuku dan perhiasan diri sebelum masuk dewan bedah. Sebaiknya mandi sebelum dibedah kerana anda akan terlantar beberapa hari atas katil selepas dibedah. Bau badan jika tak mandi boleh memeningkan kepala petugas dewan bedah.

🔹Tanggalkan cermin mata dan gigi palsu namun bawanya ke dewan bedah. Anda mungkin memerlukan cermin mata untuk pengesahan consent. Beritahu jika ada gigi yang longgar ataupun crown/ bridge gigi yang pernah dibuat. Tercabut gigi mahal nanti anda yang susah.


SEMASA PEMBEDAHAN (Intra-operation)

🔹Dewan bedah adalah sangat sejuk dan anda hanya memakai pakaian khas yang tipis. Jangan risau, kami akan berikan anda berlapis-lapis selimut dan selimut pemanas juga.

🔹Petugas dewan bedah akan memastikan keizinan (consent) bedah, jadi jangan marah jika soalan sama ditanya beberapa kali (sekurang-kurangnya 3 kali). Nanti salah pesakit atau salah potong pula.

🔹Tenangkan diri sejurus sebelum dibius. Bacalah doa atau bermeditasi. Selain itu bertawakkallah kepada Tuhan. Pada yang atheis, pandai-pandai anda sendirilah.

🔹Berbaiklah dengan doktor bius kerana kami yang akan memastikan anda selamat dan tak sakit sewaktu tubuh dikerat-kerat dan darah melimpah-limpah dibedah.


SELEPAS PEMBEDAHAN (Post-operation)

🔹Doktor bius akan menyeru nama anda kembali ke alam nyata setelah pembedahan tamat. Buka mata dan bertenang. Usah panik jika ada tiub besar didalam mulut. Buka mulut dan batuk jika ada kahak supaya ianya boleh disedut keluar.

🔹Anda akan diselia di recovery bay (unit pemulihan) untuk suatu tempoh masa sehingga stabil. Pintalah ubat tahan sakit jika masih berasa sakit. Kemungkinan berasa pening dan muntah adalah perkara biasa sehinggalah beberapa jam selepas dibius. 

🔹Sejurus sampai ke wad, jururawat akan menyelia tanda vital dan memberitahu tentang ubat tahan sakit. 

🔹Untuk pembedahan yang melibatkan abdomen, dada atau pembedahan yang mengambil masa lama, anda akan disuruh menggunakan incentive spirometer (IS). IS ialah alat yang membantu mengembang dan menguatkan paru-paru selepas menjalani pembedahan. Paru-paru yang tak kembang dan berkahak akan menyebabkan jangkitan kuman lalu pesakit akan lambat pulih. 

🔹Kerapkali stokin ketat dan ubat pencair darah seperti heparin akan diberikan kepada sesetengah jenis pesakit untuk mencegah darah beku. Darah beku dalam badan boleh menyebabkan maut jika termasuk jantung atau paru-paru. 

🔹Doktor akan menggalakkan pesakit supaya bergerak secepat mungkin bagi memulihkan pengudaraan paru-paru dan pengaliran darah. Usah diikutkan rasa malas atau takutkan kesakitan. Ubat tahan sakit yang diberi bukan untuk anda selesa berbaring tetapi supaya lekas bergerak. Lebih cepat anda bergerak, lebih cepat pemulihan terjadi.


***


Biarkan luka bedah pulih dengan sendiri. Usah ambil pati haruan, pati gamat dan sebagainya. Anda manusia, bukan haruan atau gamat. Jadi memanglah pemulihan akan mengambil masa. Penggunaan suplemen tersebut hanya menyebabkan luka dalaman pulih secara huru-hara dan melekat-lekat dengan organ lain.


Hana Hadzrami

Membius dengan kasih sayang dan amanah


No comments: