KLIKKLIK

RAWATAN TIROID ELAK KOMPLIKASI KEPADA IBU,BAYI

SUMBER : BH ONLINE
Oleh Nasuha Badrul Huzaini
nasuha@bh.com.my
KONGSI ARTIKEL


SUDAH menjadi kebiasaan untuk bakal ibu dan bapa melakukan semua yang termampu sebagai persediaan untuk menyambut kelahiran bayi mereka.

Daripada menghadiri kelas antenatal, membeli-belah untuk barangan keperluan penjagaan bayi, hinggalah memilih warna yang paling sesuai untuk bilik bayi, semuanya dilakukan bersama.

Semua inginkan permulaan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Namun, walaupun kita sudah berusaha sedaya upaya, mungkin ada sesuatu yang tidak dijangka berlaku ketika kehamilan kerana sesetengah perkara adalah di luar kawalan.

Ia merujuk kepada perubahan besar ke atas tubuh seseorang wanita untuk disesuaikan dengan bayi yang sedang membesar di dalam kandungan.

Ini termasuklah kewujudan organ berbentuk rama-rama di pangkal leher iaitu kelenjar tiroid yang sering tidak mendapat perhatian.

Pakar Perunding Endokrinologi, Profesor Dr Nor Azmi Kamarudin memberi penjelasan lanjut mengenai perkara berkenaan kepada BH Sihat.


PAKAR Perunding Endokrinologi, Profesor Dr Nor Azmi Kamarudin.
Kelenjar Tiroid

Beliau yang juga Pengerusi Program Kesedaran Hipotiroidisme, berkata kelenjar tiroid yang sihat dan berfungsi dengan baik penting untuk semua orang, tetapi lebih penting kepada wanita pada usia kehamilan mereka.

"Apabila seseorang wanita itu hamil, tubuhnya memerlukan hormon tiroid yang mencukupi untuk menyokong keperluan metaboliknya yang semakin meningkat, serta untuk bayi dalam kandungan. Kelenjar tiroid yang sihat mampu memenuhi keperluan untuk hormon tiroid yang meningkat bagi ibu dan bayinya secara semula jadi.

"Ada sesetengah wanita mungkin mengalami masalah di mana kelenjar tiroid mereka tidak mampu untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat ini lalu membawa kepada hipotiroidisme maternal - sejenis penyakit tiroid di mana hormon tiroid yang dihasilkan tidak mencukupi.

"Ini boleh membawa kesan serius kepada ibu dan bayi, malah bahayakan kesihatan mereka," katanya baru-baru ini.


WANITA hamil yang mengalami masalah kelenjar tiroid mungkin membawa kepada hipotiroidisme maternal berikutan keperluan hormon tiroid yang meningkat bagi ibu dan bayi.
Kehamilan dan komplikasi ketika kelahiran

Menurutnya lagi, apabila bekalan hormon tiroid di dalam darah tidak mencukupi, pelbagai fungsi tubuh boleh terjejas hingga menyebabkan simptom seperti keletihan dan berat badan meningkat.

"Namun, ibu hamil selalunya sudah lali dengan simptom ini dan mungkin menganggapnya sebagai kesan biasa daripada kehamilan. Sesetengah wanita mungkin menghidap hipotiroidisme ringan (subklinikal) di mana simptomnya sama ada ringan atau langsung tiada.

"Ini boleh menyebabkan penyakit ini tidak dikesan dan seterusnya tidak dirawat. Jika keadaan ini berterusan, mungkin membawa kepada hipertensi akibat kehamilan, kematian bayi sewaktu lahir, kelahiran pramatang dan pemisahan plasenta dari dinding rahim.

"Semua komplikasi ini boleh mengancam nyawa anda dan bayi anda," jelasnya.

Selepas melahirkan bayi

Tambahnya lagi, sesetengah wanita yang mempunyai kelenjar tiroid normal mungkin mengalami tiroiditis selepas bersalin atau postpartum thyroiditis (PPT), sejenis keradangan pada kelenjar tiroid dalam tahun pertama selepas melahirkan bayi.

Beliau berkata, walaupun sebab utama PPT tidak jelas tetapi ada kemungkinan bahawa wanita yang mengalami masalah ini sebenarnya mempunyai masalah tiroid autoimun yang tidak dikesan yang menjadi semakin teruk selepas melahirkan bayi akibat perubahan pada fungsi imun.

"Malangnya PPT sukar dikesan kerana keadaan ini biasanya dianggap sebagai tekanan menjaga bayi baharu lahir dan gangguan perasaan selepas bersalin yang boleh menyebabkan ketidakselesaan dan perubahan emosi ibu.

"Selain itu, wanita ini juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk membentuk hipotiroidisme kekal dalam masa lima hingga 10 tahun selepas mengalami PPT," katanya.


HIPOTIROIDISME maternal adalah penyakit tiroid yang paling lazim berlaku ketika hamil.
Ketahui status tiroid

Dr Nor Azmi menegaskan bahawa hipotiroidisme maternal adalah penyakit tiroid yang paling lazim berlaku ketika hamil.

Namun, wanita biasanya tidak sedar akan penyakit ini. Oleh itu, mereka meneruskan kehidupan dengan penyakit yang tidak dikesan dan dirawat.

Beliau menasihatkan supaya wanita hamil menjalani ujian darah yang ringkas di mana-mana klinik atau hospital untuk mengesan sekiranya anda mempunyai masalah ini.

Mereka mungkin menghadapi risiko jika mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit tiroid, pernah mengalami keguguran atau kelahiran pramatang, diabetes Jenis 1 atau penyakit autoimun lain.

Jejas perkembangan otak

"Kebiasaannya, wanita yang terbabit mungkin diberi pil tiroksin, sejenis hormon tiroid sintetik yang membantu mengawal hipotiroidisme. Pil ini penting untuk kesejahteraan bayi dalam kandungan," katanya.

Beliau berkata, hipotiroidisme boleh membawa kesan serius kepada tumbesaran dan perkembangan bayi anda.

"Apabila tidak dirawat, hipotiroidisme menjejaskan perkembangan otak, terutamanya pada trimester pertama. Ini adalah satu tragedi kerana masalah ini sebenarnya boleh dirawat dengan mudah dan boleh dicegah.

"Kita mesti memandang serius terhadap hipotiroidisme demi keselamatan ibu yang hamil dan bayi mereka. Mereka mesti digalakkan menjalani pemeriksaan hipotiroidisme kerana ia penting supaya mereka faham peranan tiroid dalam mengekalkan kehamilan dan bayi yang sihat," katanya.


INFO: Simptom Hipotiroidisme

Keletihan
Peningkatan berat badan mendadak
Sembelit
Lebih sensitif kepada kesejukan berbanding orang lain


Copy paste ~ Kpah k-poh ~

No comments: