|
PAGI itu, ibu jari kaki kiri Muazan Zainuddin, 52, terasa berdenyut-denyut dan membengkak. Dia bingkas bangun untuk mengambil ubat bagi meredakan kesakitan yang dialaminya. Malangnya, seluruh tubuh badannya tidak dapat bergerak. Kepalanya terasa pening manakala tengkuknya mengalami kekejangan hampir tiga jam.
Lantas, anak-anaknya bergegas menghubungi ambulans dan menghantarnya ke hospital untuk rawatan lanjut. Di hospital, badan Muazan dimasukkan air bagi meneutralkan paras asid urik yang naik secara mendadak.
Situasi itulah yang kerap dialami Muazan apabila dia diserang gout. Peningkatan asid urik dalam darah telah menyebabkan penyakit gout bertambah kronik. Ibu jari kakinya membengkak kemerah-merahan sehingga dia sukar bergerak. Sakitnya bukan kepalang seperti tapak kaki terpijak jarum.
“Gout ini sekali terkena sukar untuk sembuh tetapi kita boleh cegah serangan gout,” ujar Muazan yang menjalani rawatan susulan di hospital setiap bulan.
Jelas jurutera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu, selain mendapatkan rawatan doktor, dia disarankan mengamalkan diet seimbang dan mengelak daripada makanan yang mengundang gout.
Muazan disahkan menghidap gout pada tahun 1992 selepas pulang dari Jepun. Namun, hari ini dia perlu banyak berpantang dalam pemakanan. Dia perlu mengelak makanan berasaskan kacang, hidupan laut dan daging merah. Setiap hari, dia mendisiplinkan diri menikmati sup sayur dan ikan.
SETERUSNYA:
No comments:
Post a Comment