KLIKKLIK

Mesej kanser warga desa

MAKNA turut memainkan peranannya dalam memberi maklumat dan kesedaran kepada warga desa melalui siri pameran serta ceramah.


ADELLA BAKHTIAR, 43, seperti ramai wanita desa lain sebelum ini kurang mengambil berat soal risiko penyakit kanser. Namun begitu, dia tetap sedar bahawa penyakit itu boleh menyerang sesiapa sahaja.
Berada di zon selesa, ibu tunggal yang memiliki tiga orang cahaya mata itu tidak pernah menjangkakan kehadiran penyakit pembunuh tersebut dalam hidupnya sehinggalah dia disahkan menghidap kanser pangkal rahim pada April lalu.
“Walaupun terdapat tanda-tanda saya mendapat penyakit itu seperti keluar cecair yang seakan air ketuban daripada bahagian sulit, haid yang panjang dan kesakitan bahagian belakang, tetapi saya masih tidak menganggapnya bahaya.
“Selepas lima bulan menunjukkan ciri-ciri itu barulah saya diberitahu bahawa saya disahkan menghidap kanser pangkal rahim,” katanya yang turut memerlukan wang sebanyak RM40,000 untuk rawatan.
Dia yang selesai menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi sebanyak 27 kali itu telah mengalami penurunan berat badan yang serius, daripada 62 kilogram (kg) menjadi 37kg dalam tempoh yang singkat.
Adella berkongsi kisahnya bersama peserta ceramah Kesedaran Kanser Pangkal Rahim dan Pap Smear di Klinik Kesihatan Senawang, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Program tersebut merupakan anjuran bersama di antara Panel Penasihat Klinik Kesihatan Senawang, pelatih jururawat kesihatan awam dan Majlis Kanser Nasional (Makna).
Ceramah disampaikan oleh Fasilitator Outreach Program Makna, Habibah Abdul Rahman.
Biarpun sedih dengan dugaan tersebut, Adella tidak mahu rakan-rakan wanitanya yang lain menjadi mangsa kepada penyakit itu.
Seorang penduduk di sekitar pusat rawatan itu, Noor Latifah Abdul Rahman, 47, menjelaskan bahawa pihak berkaitan perlu mendekatkan diri dengan penduduk desa agar ramai yang diberi kesedaran tersebut.
“Rakan-rakan suri rumah lain perlu didedahkan dengan maklumat berkaitan dengan penyakit ini. Pihak terbabit perlulah mengambil perhatian untuk datang dan bermesra dengan mereka,” katanya.
Peserta ceramah tersebut, Halimah Mohd. Yassin, 47, menjelaskan bahawa masyarakat desa kini mula sedar tentang penyakit yang popular dalam kalangan wanita itu biarpun pendedahan mengenainya masih tidak menyeluruh.
Perasaan malu dan stigma masyarakat di luar bandar terhadap kepentingan melakukan pemeriksaan di bahagian organ sulit itu masih lagi rendah.

SETERUSNYA

No comments: