KLIKKLIK

Bayaran ubat RM3.5j sudah disalur pada 29 November


KAUNTER farmasi Hospital Melaka beroperasi seperti biasa dalam mengendalikan agihan bekalan ubat untuk pesakit semalam.


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menganggap masalah bekalan ubat di Hospital Melaka tidak sepatutnya timbul memandangkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta untuk membeli bekalan ubat sudah disalurkan pada 29 November lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hassan Abdul Rahman berkata, masalah itu timbul mungkin kerana ada kakitangan hospital berkenaan yang lewat membuat tempahan dan pembelian bekalan ubat-ubatan.

“Kementerian berpendapat masalah ini sudah selesai kerana kita telah menyalurkan peruntukan pembelian ubat.
“Pihak hospital Melaka sebenarnya tidak mengalami kehabisan ubat hanya kekurangan ubat,’’ katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Beliau mengulas laporan Kosmo! mengenai kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam kelmarin yang mahu kementerian itu mempercepatkan penyaluran peruntukan tersebut bagi mengatasi masalah itu dengan segera.
Kenyataan Mohd. Ali itu dibuat selepas membuat penjelasan kepada orang ramai selepas beliau mendapat taklimat daripada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Azmi Hashim.
Difahamkan antara ubat yang mengalami kekurangan itu kebanyakannya khusus untuk pesakit kencing manis dan darah tinggi.
Ekoran daripada keadaan tersebut keadaan menjadi semakin buruk apabila jumlah pesakit sejak September lalu sehingga kini semakin meningkat sebanyak 16.8 peratus kepada 200,000 orang setahun.

No comments: