KLIKKLIK

Diabetes sebabkan mati mengejut

BERAT badan berlebihan menjadi punca utama masalah diabetes di Malaysia.


KEMATIAN mengejut wartawan penyiaran NBC News, Tim Russert, 58, dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, 59, pada tahun 2008 memeranjatkan ramai orang.
Tidak terkecuali Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharom, 50, dan penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40, pada tahun 2009.
Kesemua mereka meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung.
Biarpun begitu, petanda awal kepada serangan jantung itu sudah diduga kerana masing-masing merupakan penghidap diabetes.
Perkara tersebut diakui oleh Ketua Endikronologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Nor Azmi Kamaruddin.
Jelas Nor Azmi, selain daripada kesan fizikal seperti gangren iaitu anggota tubuh mati atau membusuk akibat diabetes, penyakit itu juga menjadi pencetus kepada pelbagai penyakit kronik yang lain.
“Ramai orang yang hanya mengaitkan diabetes dengan kesan buruk yang berakhir dengan kaki pesakit terpaksa dipotong. Namun, hakikatnya ia boleh menyumbang kepada masalah kesihatan seperti kegagalan fungsi buah pinggang, katarak mata, sakit jantung dan serangan angin ahmar,” kata Nor Azmi.
Menurut kajian di Amerika Syarikat, sakit jantung yang berpunca daripada diabetes merupakan sebab utama kematian di negara itu iaitu sebanyak 55 peratus. Sebanyak 10 peratus pula kematian disebabkan angin ahmar yang berpunca daripada diabetes.

SETERUSNYA

No comments: