KLIKKLIK

MAYAT RADIOAKTIF | FB ALZAMANI MOHAMMAD IDROSE | (RAI)Radioiodine | KANSER TIROID

Sumber Fb ALZAMANI MOHAMMAD IDROSE

MAYAT RADIOAKTIF
-----------------------------
BAHAGIAN 1
-----------------------------

"Doktor, kita ada satu situasi"

Telefon bimbitku bergema dengan nada dering yang nyaring. Jam menunjukkan pukul 1.10 minit pagi. Pelik juga. Aku tidak bertugas atas panggilan.

Tetapi bukanlah sesuatu yang aneh. Apabila bertugas di Jabatan Kecemasan, ada masanya suatu insiden luar biasa boleh berlaku seperti insiden kemalangan, letupan atau apa-apa bencana seumpamanya. Dalam situasi sebegini, hospital akan berada sama ada dalam situasi 'yellow alert' (semboyan kuning) atau 'red alert' (semboyan merah).

Dalam situasi red alert kami harus segera ke hospital tetapi jika hanya yellow alert kami hanya perlu menunggu arahan lanjut kerana kejadian sebenar belum dapat dipastikan lagi.

Apa agaknya kali ini? Kemalangan bas lagikah? Memang kemalangan bas kerap berlaku. Atau kilang meletup? Tanah runtuh? Bangunan runtuh? LRT terbakar?

Semuanya bermain di fikiranku. Butang 'jawab' ditekan, aku sudahpun bersedia dalam fikiran akan sebarang kemungkinan.

"Assalammualaikum Dr. Ini Azhar bercakap," kedengaran suara dari speaker telefon. Aku kenal Encik Azhar merupakan ahli fizik di hospital aku. Dia bertanggungjawab terhadap bahan-bahan radioaktif di hospital.

Hospital Kuala Lumpur memiliki bahan-bahan radioaktif seperti yang digunakan untuk rawatan kanser. Kami biasa bekerjasama rapat dalam membuat pelan radiasi hospital.

"Ya Azhar, ada apa?" aku bertanya

"Begini doktor. Kita ada satu situasi. Ada seorang pesakit kanser tiroid. Dia baru menerima rawatan menggunakan bahan radioaktif Iodin-131. Biasanya kita kuarantikan setiap pesakit selama 3 hari di 'Wad Iodin' supaya kesan radioaktifnya turn hingga ke paras selamat. Selepas itu barulah dibenarkan dibawa keluar ke wad biasa. Malangnya pada hari pertama, baru sekejap tadi, dia meninggal dalam wad. Pesakit orang Islam dan keluarga hendak bawa pulang ke kampung di Kedah untuk dikebumikan, " terang Azhar.

Wad Iodin adalah wad khas di mana ia merupakan sebuah bilik yang terasing. Tandas di dalamnya dibuat dengan saliran khas ke tangki simpanan 'decay tank' di mana semua bahan kumuh dari pesakit dikumpulkan dalam tangki diperbuat dari plumbum.

Sekarang aku berhadapan dengan situasi yang penuh dilema. Pesakit mempunyai bahan radioaktif Iodin-131 di dalam badannya. Jika dia dibawa keluar, semua orang yang menghampirinya akan menerima sinaran radioaktif.

Jika melebihi dos, mereka yang menerima bahan ini boleh mengalami kesan radioaktif. Ia boleh menyebabkan 'Acute Radiation Syndrome' atau kesan jangkapanjang seperti kanser.

Menuju ke Hospital

"Tak apa Azhar, saya datang sekarang," ucapku ringkas. Aku memberitahu isteri yang aku perlu ke hospital, mengambil kunci kereta dan menekan minyak menuju ke hospital.

Dalam perjalanan, beberapa perkara bermain di fikiranku.

Badan simati akan berterusan memancarkan sinar radioaktif dan sesiapa yang berada di sekeliling simati pasti akan terkena sinar ini. Bahaya !

Untuk dibawa keluar dan dibiarkan sesiapa sahaja mendekati mayat, pastinya akan memberikan kesan sampingan yang buruk. Kalau diikutkan prosedur, mayat perlu ditinggalkan selama 3 hari sebelum dibenarkan dibawa keluar.

Tetapi kasihan juga. Aku juga orang Islam. Dan kalau ini keluargaku sendiri, tentu aku tidak mahu mayat tersadai selama 3 hari. Tentu aku mahu dikebumikan segera.

Tentu aku mahu dimandikan dan dikapankan dengan baik. Tentu aku mahu semua ahli keluarga dan kenalan berziarah untuk kali terakhir. Tentu aku mahu dia dikebumikan dengan sebaik mungkin.

Semua orang Islam tahu proses mengebumikan orang Islam.

Mayat akan dimandikan dan dikapankan : 4 orang boleh terlibat dan mereka ini boleh terdedah.

Mayat akan dibawa dengan kereta jenazah : Pemandu dan pengiring boleh terdedah.

Mayat dibawa ke rumah keluarga : semua ahli keluarga yang mendekati dan mengucup simati boleh terdedah

Mayat diusung ke kubur : semua pengusung boleh terdedah

Mayat dimasukkan ke liang lahad : semua yang membantu menurunkan mayat akan terdedah.

Aku berfikir lagi. Mereka semua pastinya akan terdedah dengan kesan radioaktif.

Sukar situasi ini.
-------------------------------
BAHAGIAN 2
-------------------------------

Kereta Proton Wira Aeroback yang bertahun setia menemaniku dalam semua urusan kerja diletakkan untuk parkir berhampiran bangunan Wad Onkologi. Aku berjalan memasuki pintu masuk dan setelah bertanya kepada pengawal tentang lokasi kejadian aku ditunjukkan arah ke 'Wad Iodin'.

Aku tiba di situ dan staf wad bersama Encik Azhar ada di situ. Ahli keluarga ada di luar. Setelah sedikit tunduk hormat kepada mereka, aku masuk ke dalam dan bertemu dengan Encik Azhar untuk mendapatkan maklumat dengan lebih lanjut.

'Alat Geiger-Mueller Iodin-131'

"Macamana doktor? Kalau ikutkan, mayat kena ada di sini untuk 3 hari," Encik Azhar bersuara dan bersambung, "Saya sudah survey menggunakan alat Geiger Meter dan bacaan menunjukkan mayat memberikan kesan radioaktif pada sesiapa dalam jarak 2 meter," Azhar memaklumkan. Suaranya menyirat semua dilema yang berkumpul akan situasi ini.

Secara teknikal, mayat tersebut mempunyai kontaminasi bahan radioaktif. Sesiapa yang menghampirinya akan menghadapi bahaya terkena sinaran radiasi Iodin-131 yang berada dalam tubuhnya. Iodin -131 ini berupaya memancarkan sinar gama yang dapat memancar sejauh kira-kira 2 meter dari sumbernya.

Aku melihat staf di situ termasuk pegawai perubatan atas panggilan. Keadaan seperti buntu. Agak sukar untuk diberitakan kepada ahli keluarga yang mayat perlu dibiarkan di situ selama 3 hari sebelum dapat berbuat apa-apa.

Staf perubatan juga takut untuk mendekati mayat tersebut.

Aku berbincang dengan pegawai perubatan serta meneliti nota pesakit. Pesakit menerima rawatan Iodin-131 yang diambil dengan menelan bahan tersebut.

Tujuan rawatan ini adalah untuk melemahkan atau mematikan fungsi kelenjar tiroid yang menghasilkan hormon tiroid berlebihan dalam badan yang menyebabkan kesan yang dipanggil hyperthyroidism seperti degupan jantung yang laju, peluh berlebihan, gugur rambut, cirit-birit dan ketar tangan.

Prosedur ini adalah satu pilihan yang baik untuk rawatan dalam kes-kes kanser tiroid sebegini. Malangnya, pesakit mengalami jangkitan paru-paru dan kumannya masuk ke dalam salur darah yang dipanggil sepsis.

Sepsis ini sangat berbahaya kerana kuman tersebar ke seluruh badan setelah masuk ke salur darah. Ia boleh membunuh kerana jangkitan kuman mengganggu fungsi organ-organ utaman badan seperti buah pinggang, salur darah dan jantung.

Pesakit ini sebenarnya mati bukan disebabkan oleh pemberian bahan radioaktif Iodin-131 kepadanya untuk rawatan hyperthyroidsm tetapi akibat kesan dari sepsis ini.

Apa aku nak buat? Tak pernah berlaku situasi macam ni. Mana ada panduan untuk insiden seperti ini.

Haruskah aku bertegas dengan keluarga supaya mayat dibiarkan di sini selama 3 hari?

Bolehkah keluarga menerima yang bapa mereka harus ditinggal di sini dan hanya boleh diambil selepas 3 hari?

'Get back to basic!'

Aku duduk di hadapan kaunter. Dari situ, aku nampak mayat berhampiran wad. Mayat diletakkan menjauhi semua orang. Di situ, aku terpandang papan putih di sebelah kaunter. Aku mula memikirkan beberapa pilihan sebagai strategi.

"Azhar, jom kita buat strategi. Nurse, ambilkan saya marker," aku mula memberikan arahan.
Segera mata-mata kami tertancap ke papan putih tersebut.

"Jom get back to basic. Kita tahu asas perlindungan ada 3 sahaja apabila kita menghadapi situasi radioaktif iaitu distance, time and shield atau ringkasnya DTS," aku cuba kembali ke prinsip asas yang kupelajari sebelum ini berkenaan bahan radioaktif. Aku tahu kami tidak pernah berhadapan dengan situasi sebegini.

Tidak ada panduan seumpamanya dalam mana-mana garispanduan di dunia termasuklah yang ada dalam dokumen International Atomic Energy Board. Yang aku pasti kami perlu kembali ke prinsip asas untuk semua dilindungi dari menerima sebarang radiasi dari mayat ini.

Aku memegang pena papan putih lalu mula memasang rancangan bersama Azhar.

Prinsip 'DTS'

"Ok, kita tahu asasnya adalah DTS, aku mula menulis. Maka satu persatu kita rangka. Pertama, untuk distance kita tahu jarak yang selamat dari ukuran alat Geiger tadi adalah 2 meter. Maka kita letakkan had keselamatan sejauh 2 meter. Semua orang akan dihalang melepasi had ini. Yang mengandung dilarang sama sekali untuk mendekati pesakit. Kedua, untuk time kita tahu semua orang boleh menerima radiasi asalkan tidak melebihi had maksimum. Jadi Azhar, awak kirakan berapa lama had masa setiap orang boleh berada dekat dengan mayat. Dari situ, kita akan tentukan berapa lama tukang mandi mayat boleh berada bersama pesakit," aku tuliskan di papan putih sambil aku meluahkan apa yang berada dalam fikiranku.

"Mandi mayat doktor?" Azhar bertanya seperti tidak percaya. Tidak pernah proses mandi mayat dijalankan dalam Wad Iodin.

---------------------------------
BAHAGIAN 3
---------------------------------
Mandi Mayat Radioaktif

"Ya Azhar. Saya rasa tak sanggup kita biarkan mayat tinggal di sini untuk 3 hari. Jadi kita rangka supaya proses mandi mayat kita buat di sini. Kita panggil orang dari Pejabat Agama untuk mandi mayat di sini. Kita tahu had radiasi adalah 50 mSV setahun bagi setiap orang. Dan dari garispanduan MOSTI, 1 mSV setahun untuk orang biasa dan 20mSV untuk pekerja radiasi seperti juruXRay dan sebagainya. Jadi kita benarkan mereka memandikan mayat dan kapan berdasarkan had kiraan radiasi yang mereka serap supaya tidak lebih dari 1 mSV" terangku. Aku nekad membuat keputusan ini. Azhar mengangguk dan bersetuju.

Sekarang nampaknya, kami mula menemui cahaya di hujung terowong. Aku menyambung lagi, " Ketiga, dari segi shield kita ada pilihan untuk mereka yang hampir memakai pakaian plumbum. Tapi saya fikir ini berat dan hanya melambatkan pergerakan. Jadi kita lupakan perlindungan ketiga ini, " Aku cuba merangka bersama Azhar. Aku tahu Azhar sangat mahir dan dia faham apa yang cuba kucapai. "Boleh doktor. Dari kiraan saya kadar dos adalah 0.025 mSv seminit. Setiap petugas ada masa sekitar 40 minit had masa."

Maka semukanya jelas. Kami merumuskan kini berdasarkan prinsip DTS seperti berikut :
D = 2 meter (sesiapapun akan selamat pada jarak ini)
T= 40 minit (setiap orang yang menghampiri mayat tidak boleh melebihi had waktu ini)
S= pakaian plumbum (tapi tidak praktikal)

Ia menjadi asas untuk semua respons kami selepas ini.
Kami menyenaraikan semua rancangan kami dengan senarai di atas papan putih tersebut. Kami merancang untuk memanggil tukang mandi mayat dari pejabat agama ke hospital. Aku mendapatkan pakaian perlindungan untuk mereka. Berdasarkan kiraan Azhar, mereka ada masa selama 40 minit untuk berada dekat dengan mayat. Jika solat jenazah hendak dilaksanakan, kami akan sarankan supaya ia dilaksanakan pada jarak 2 meter dari mayat.

Van Jenazah Untuk Mayat Radioaktif

Bersama Azhar aku mula berbincang tentang perjalanan panjang balik ke kampung simati di Baling Kedah yang akan mengambil masa selama 5 jam. Ini akan memudaratkan pemandu van jenazah kerana dia akan berada bersama pesakit melebih jangakamasa 40 minit.

Kami mendapat satu idea. Iodin-131 akan berkumpul di bahagian kelenjar tiroid yang berada pada leher. Jika kami boleh meletakkan jarak 2 meter di antara pemandu dan leher mayat, pemandu tidak akan mendapat sebarang kesan radioaktif memandangkan jaraknya adalah selamat. Setelah berbincang, kami sepakat untuk mendapatkan van jenazah dari Angkatan Tentera Malaysia yang merupakan kenderaan long wheelbase. Waris simati harus diberi penerangan. Kubur perlu dikorek sedia supaya mayat tidak lama terdedah dan mengenai waris dan ahli keluarga. Juga tidak boleh terlalu lama proses menurunkan jenazah ke liang lahad. Ia mesti dilakukan tidak lebih dari 40 minit selaras dengan kiraan kami. Liang lahad juga harus dikorek sedalam 2 meter supaya selamat orang di permukaan kubur yang akan membaca talkin, menyiram air mawar, menabur bunga atau lalu-lalang di atasnya.

"Ok bagus. Jadi macam ni. Selepas ini kita perlu terangkan rancangan kita kepada keluarga. Kita perlu membuat ahli keluarga faham," Azhar akur. Jururawat bertugas faham. "Saya panggil ahli keluarga ya doktor?" kata Jururawat Anis. Aku menggangguk.

Berbincang dengan Keluarga

Waris keluarga masuk masuk ke depan kaunter wad. Terdapat isteri waris dan anaknya di situ. Mereka kelihatan sugul tetapi tenang.

"Makcik Faridah, Encik Fauzi, saya Dr Alzamani, pakar perubatan kecemasan. Ini Encik Azhar, pegawai fizik perubatan. Kami semua ucapkan takziah kerana arwah Pakcik meninggal disebabkan jangkitan kuman dalam darah. Prosedur pemberian Iodin ni khusus untuk masalah kanser tiroid pakcik. Prosedur berjalan baik tetapi masalah jangkitan kuman menyebabkan arwah tidak dapat bertahan. Untuk itu kami harap Makcik dan encik dapat bersabar dengan ketentuan tuhan dan di luar keupayaan kami, " Kedua mereka sudah maklum akan kematian lebih awal. Mereka juga tahu yang bahan Iodin digunakan adalah radioaktif kerana telah diterangkan oleh jururawat dan doktor yang merawat sebelum itu.

"Saya faham doktor. Tapi kami nak bawa balik mayat ke kampung di Baling, Kedah. Saya tahu bahan Iodin yang digunakan tu radioaktif. Tetapi kami tak sanggup biarkan mayat mereput selama berhari-hari doktor," keresahan anaknya boleh aku fahami.

"Saya faham encik, makcik. Begini, dengan encik Azhar kami sudah membuat beberapa cara bagi membolehkan pakcik dibawa balik ke Kedah. Biar saya terangkan kepada makcik dan encik," aku menerangkan semua strategi dan mereka faham.

"Perlu kerjasama ya encik. Kita akan usahakan supaya arwah pakcik siap dimandikan, dikapan malah disembahyangkan di sini. Di kampung nanti, minta kubur digali siap. Kalau keluarga hendak berziarah jangan lama, tak boleh lebih 40 minit. Saya syorkan dibawa terus ke masjid. Boleh solat jenazah ringkas. Selepas itu, dikebumikan terus dan dikambus kuburnya dengan segera. Kedalaman kubur harus 6 kaki atau 2 meter," mataku melihat reaksi anaknya dan makcik. Mereka kelihatan lega bahawa mayat tersebut boleh dibawa pulang ke kampung halaman.

Tukang Mandi Mayat Pakai Baju ICU

Tidak lama selepas itu, sekumpulan tukang mandi mayat tiba. Mereka semua diberikan pakaian perlindungan yang merangkumi penutup kepala, topeng perlindungan, apron dan but.

Mereka memakai pakaian tersebut dengan dibimbing oleh jururawat wad. Setelah selesai memakainya mereka semua kelihatan seperti petugas di ICU atau wad isolasi.

Sejurus itu, mereka memulakan kerja seperti biasa memandikan mayat. Dalam ertikata lain, mayat tersebut juga mengalami proses 'dekontaminasi'.

Mayat dimandikan, dikapan dan disembahyangkan. Semuanya mengambil masa tidak lebih 40 minit. Selesai solat jenazah, van jenazah pun sampai.

Mayat diletakkan dengan kepala di hujung pintu belakang van. Ini berbeza dengan aturan sebelum ini yang mana kaki yang diletakkan hampir ke pintu van. Jarak di antara pemandu dan pengiring yang duduk di depan melebihi 2 meter apabila diukur ke leher mayat.

Pemandu pastinya terselamat dari terkena sinaran radiasi. Yang akan terkena radiasi mungkin 'Mat Rempit' yang menunggang hampir dengan pintu ambulans. Tetapi kami tidak bimbang kerana kebarangkalian Mat-mat Rempit mati akibat kemalangan jalanraya adalah lebih tinggi dari sebab terkena radiasi.

Mayat dimasukkan ke kereta jenazah. Pintunya ditutup. Kami menghantar Encik Rahmat, seorang lagi pegawai fizik perubatan untuk di duduk di bahagian hadapan ambulans.

Enjin kereta jenazah dihidupkan dan mereka mula bergerak dalam perjalanan tanpa henti ke Baling, Kedah. Keluarga simati mengikuti.

6 Kaki di Bawah Tanah

Kira-kira 5 jam kemudian, mayat tiba di kampung halaman. Ahli keluarga dan kenalan berziarah dan sempat memberi kucupan terakhir.

Semua dipantau oleh ahli fizik perubatan supaya tidak melebihi had masa selamat yang ditetapkan iaitu tidak lebih 40 minit. Sejurus selepas itu, mayat dibawa ke masjid dan solat jenazah sekali lagi disempurnakan. Mayat di bawa ke liang lahad yang tersedia lalu dikebumikan secepat mungkin dengan masa tidak melebihi 40 minit.

Setelah selesai dikebumikan, talkinpun dibaca. Memandangkan, mayat kini berada 6 kaki di bawah tanah iaitu bersamaan 2 meter, semua yang membacakan doa selepas talkin di kubur selamat dari sebarang bahaya radiasi mayat radioaktif.

Pegawai fizik perubatan yang mengiring pulang bersama pemandu van jenazah kosong kembali ke Kuala Lumpur.

Sesuatu yang sangat disyukuri adalah apabila jenazah dibuka untuk dilihat buat kali terakhir di kampung, arwah kelihatan tenang umpama yang ada adalah 'radiasi' iman dari tubuhnya seolah-olah tiada apa yang luarbiasa. Kami doakan arwah ditempatkan di syurga di kalangan orang-orang beriman. Amin.

Nota : Cerita ini berasaskan kisah benar. Walaubagaimanapun nama waris pesakit ditukar bagi metahsiakan identiti. Usaha dibuat untuk mengikuti apa yang terjadi sebenarnya tetapi sedikit pengubahsuaian dibuat terutamanya pada dialog untuk melancarkan jalan cerita. Bagaimanapun konteksnya adalah asli

#alzawrites


Copypaste oleh:
~ kpah k-poh ~ 26/12/16

No comments: