KLIKKLIK

UBAT-UBATAN UNTUK RAWATAN PENYAKIT TIROID | TIROID DAN ANDA

SUMBER : facebook KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

UBAT-UBATAN UNTUK RAWATAN PENYAKIT TIROID

Semasa saya menunggu bas untuk pulang ke rumah, terdengar perbualan dua orang pak cik yang juga sedang menunggu bas di hentian luar perkarangan Hospital. Salah seorang daripada pak cik tersebut bertanyakan kepada rakannya apakah ubat yang baru sahaja diambil dan rakannya itu menjawab “saya mengambil ubat tiroid”. Kelihatan pada wajah pak cik yang bertanya itu seribu satu persoalan, apakah itu ubat tiroid? Maka perbualan mereka diteruskan dan saya terus memasang telinga untuk mendegar perbualan mereka.

Tentu ramai yang ingin tahu berkaitan ubat tiroid. Selain daripada insulin dan adrenalin, hormon tiroid juga merupakan hormon penting dalam sistem tubuh manusia. Hormon ini dihasilkan oleh kelenjar tiroid dan rembesannya dikawal oleh sebuah kelenjar dikenali sebagai kelenjar pituitari.

Hormon tiroid memainkan peranan, sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada pelbagai sistem tubuh dan organ utama badan. Antaranya adalah sistem pernafasan, sistem saraf pusat dan periferi, degupan jantung, suhu badan, serta sistem otot dan skeletal.

Kecacatan atau perubahan fungsi kelenjar tiroid atau kelenjar pituitari boleh menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit berkaitan hormon tiroid. Dua penyakit biasa yang dikaitkan dengan perubahan paras hormon tiroid ialah hipertiroidisme dan hipotiroidisme. Hipertiroidisme ialah satu keadaan apabila paras hormon tiroid dalam badan manusia melebihi paras normal. Pada kebiasaannya ia disebabkan oleh kelenjar tiroid yang terlalu aktif. Hipotiroidisme pula adalah keadaan sebaliknya, iaitu apabila kelenjar tiroid menghasilkan terlalu sedikit hormon tiroid.

Gejala penyakit hipertiroidisme dan hipotiroidisme

Seseorang yang menghidap hipertirodisme biasanya akan mengalami penurunan berat badan, jantung berdegup laju, tangan bergetar, keresahan, pergerakan usus yang laju dan lemah otot. Berlawanan dengan itu, penyakit hipotiroidisme pula kerap ditunjukkan dengan keadaan peningkatan berat badan, metabolisme badan menjadi perlahan, suhu badan menurun, kulit dan rambut menjadi kering, sembelit, perasaan tertekan, kekejangan otot dan sesetengah pesakit mungkin mengalami bengkak di bahagian depan leher akibat pembesaran kelenjar tiroid.

Rawatan untuk penyakit hipertirodisme

Secara umumnya, rawatan yang diberi adalah untuk sama ada mengurangkan penghasilan hormon tiroid daripada kelenjar tiroid atau mengurangkan kuantiti hormon tiroid bebas dalam peredaran darah.

a. Ubat carbimazole dan methimazole
Carbimazole ialah ubat anti-tiroid yang biasa digunakan untuk rawatan hipertiroidisme. Methimazole pula ialah bentuk aktif carbimazole dalam badan. Carbimazole bertindak dengan mengurangkan penghasilan hormon tiroid oleh kelenjar tiroid. Doktor akan memulakan pesakit dengan dos yang tinggi yang diambil dua hingga tiga kali sehari untuk tempoh beberapa minggu sehingga hormon tiroid pesakit kembali ke paras normal. Kemudian pesakit akan diteruskan pula dengan dos pengekalan yang lebih rendah.

Kesan sampingan biasa yang dikaitkan dengan carbimazole termasuklah ruam kulit, rasa loya, sakit kepala, perubahan sistem gastrousus dan sesetengah pesakit akan mengalami pengurangan sel darah putih. Keadaan ini akan kembali normal selepas ubat berhenti diambil. Penggunaan ubat carbimazole untuk wanita mengandung perlu diberi lebih perhatian, terutamanya jika pesakit perlu mengambil dos yang tinggi. Ubat perlu diberhentikan dengan arahan doktor pada hujung kehamilan jika perlu. Selain itu, carbimazole juga didapati boleh masuk ke dalam kelenjar susu. Penggunaan oleh wanita yang menyusukan anak juga perlu lebih berhati-hati.

b. Ubat propylthiouracil (PTU)
Ubat PTU ini bertindak dengan cara yang sama seperti carbimazole dengan kesan tambahan kepada hormon tiroid yang terdapat di bahagian periferi badan. Walau bagaimanapun, disebabkan kesan sampingan ubat ini kepada fungsi hati, penggunaannya dihadkan untuk pesakit yang tidak boleh mengambil carbimazole atau iodin radioaktif sahaja, termasuklah pesakit yang mengandung trimester pertama. PTU perlu ditukar kepada carbimazole selepas kandungan masuk trimester kedua dan ketiga. Kesan sampingan PTU adalah hampir sama dengan carbimazole.

c. Iodine radioaktif (Iodine - 131)
Produk ini mengandungi iodide, prekursor untuk penghasilan hormon tiroid. Apabila ia diserap masuk ke dalam kelenjar, iodide akan mengeluarkan sinaran beta dan menyebabkan sel tiroid yang menghasilkan hormon akan musnah. Ia tidak sesuai digunakan untuk pesakit berusia kurang 30 tahun, atau pesakit yang pernah menggunakan ubat anti-tiroid sebelum ini.

d. Ubat perencat reseptor beta adrenergik (beta blocker)
Ubat kumpulan ini tidak memberi kesan kepada paras hormon tiroid. Ia hanya membantu dalam mengurangkan simptom hipertirodisme seperti memperlahankan degupan jantung, mengurangkan getaran dan rasa gelisah pesakit dengan merencat reseptor beta adrenergik. Contoh ubat ini yang banyak digunakan ialah propranolol.

Rawatan untuk penyakit hipotirodisme

Rawatan yang diberikan bertujuan untuk meningkatkan semula paras hormon tiroid ke paras normal. Ubat-ubat yang digunakan untuk tujuan rawatan ini menyerupai kedua-dua jenis hormon tiroid, iaitu hormon T3 dan T4.

a. Levothyroxine
Ubat ini ialah digunakan secara meluas sebagai gantian kepada hormon tiroid. Ia mempunyai kesan yang lebih panjang dan potensi yang lebih konsisten. Ubat ini diambil sekali sehari pada dos yang ditetapkan oleh doktor semasa perut kosong. Dos permulaan yang biasa ialah 50 – 100 mikrogram tetapi dos ini perlu dikurangkan bagi pesakit yang lebih berusia atau mempunyai penyakit berkaitan jantung kerana mereka lebih sensitif kepada hormon tiroid. Dos permulaan bagi kumpulan pesakit seperti ini adalah 25 mikrogram.

Ubat ini biasanya akan menyebabkan kesan sampingan ringan seperti kegelisahan, tubuh bergetar, lemah otot, banyak berpeluh, jantung berdegup laju, penurunan berat badan dan beberapa keadaan lain yang hampir menyamai simptom hipertirodisme.

b. Liothyronine
Ubat ini ialah sediaan sintetik bagi hormon T3. Ia mempunyai waktu bertindak yang lebih cepat berbanding levothyroxine. Oleh sebab itu, ia sesuai digunakan untuk kes-kes hipotirodisme yang lebih serius dan memerlukan kesan T3 yang lebih pantas

Kesimpulan

Melalui perbualan dua orang pak cik tersebut, saya dapat mengetahui bahawa pak cik yang mengambil ubat tiroid itu adalah pesakit yang menghidap penyakit Hipertiroidisme kerana beliau memberitahu rakannya beliau mengambil ubat bernama ‘carbimazole’.

Bagi pesakit yang sedang menerima rawatan penyakit tiroid, rawatan ubat-ubatan yang diberikan boleh mengurangkan gejala sekiranya ia ubat diambil mengikut dos dan aturan yang telah ditetapkan oleh doktor. Kepatuhan kepada rawatan ubat-ubatan untuk penyakit tiroid adalah penting. Selain itu, pesakit memerlukan rawatan ubat ini untuk tempoh jangka masa panjang. Justeru, pemahaman mereka berkaitan ubat-ubat tiroid yang diambil adalah penting.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1 800-88-6722.

Oleh:
Mohd Shahiri bin Abd Ghapar
Pegawai Farmasi
Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang


Copy paste 28 Disember 16
~kpah k-poh ~

1 comment:

Unknown said...
This comment has been removed by the author.