KLIKKLIK

TIROID GANGGU EMOSI

SUMBER:
Oleh Nor Hatina Shuib
hatina@bh.com.my


TIROID bengkak pada bahagian leher dengan keadaan individu bertubuh kurus dan mata terjojol, mungkin ada yang beranggapan ia sebagai penyakit biasa.

Bagaimanapun, ramai tidak sedar gejala itu dan ciri serangan seakan-akan penyakit lain. Jadi, individu yang nampak ketara bengkak sebegitu pada lehernya, seharusnya lebih perhatian dengan membuat pemeriksaan doktor.

Malah, kebarangkalian wanita diserang lebih tinggi berbanding lelaki. Berdasarkan rekod wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun lebih berisiko mendapat penyakit itu.

Secara anatomi, kelenjar ini terbahagi kepada dua bahagian, seakan-akan rama-rama bertanggungjawab menjaga fungsi utama badan.

Kelenjar tiroid itu juga bertindak sebagai perisai leher dan kerongkong, berfungsi mengeluarkan hormon tiroid yang memberikan tenaga dan metabolisme kepada tubuh.

Apabila aras hormon tiroid tinggi, hipertiroidisme akan menyerang, dalam keadaan hormon terlalu rendah pula, individu berhadapan risiko serangan hipotiroidisme.

Sistem antibodi lemah

Serangan disebabkan beberapa punca antaranya kekurangan iodin dan sistem antibodi tubuh lemah.

Pakar Endokrinologi, Pusat Pakar Perubatan UiTM, (PPUiTM), Dr Fatimah Zaherah Mohamed Shah, berkata setiap orang termasuk kanak-kanak memiliki kelenjar tiroid ini.

Beliau berkata, tiroid sejenis kelenjar normal dalam tubuh, bagaimanapun apabila kelenjar ini terlalu tinggi dan rendah akan memberi masalah kesihatan.

"Hormon tiroid rendah mempunyai gejala berbeza dengan hormon tiroid yang tinggi. Namun, kedua-duanya perlu dikawal dan dirawat," katanya ketika ditemui BH.

Dr Fatimah Zaherah berkata, hipertiroid membuatkan badan penghidapnya kurus walaupun banyak makan. Badan terasa panas, sentiasa berpeluh, rasa gementar pada tangan dan jari. Pesakit juga mengalami jantung berdebar dan mudah penat.

Pengesahan awal, mudahkan rawatan

Pengesanan awal seperti ujian darah memudahkan rawatan hanya dengan mengambil ubat dalam satu jangka masa ditetapkan.

Katanya, jika individu terbabit gagal mendapatkan rawatan segera, mereka berhadapan masalah lemah jantung disebabkan organ berkenaan mengepam darah terlalu laju disebabkan gejala seperti berdebar.

"Rawatan lain dicadangkan iaitu radioaktif iodin (minum atau pil), bertujuan membunuh sel kelenjar berlebihan ini.

"Pesakit perlu mematuhi beberapa prosedur seperti pengasingan dengan kanak-kanak dan tidak boleh keluar rumah dalam tempoh seminggu ," katanya.

Beliau berkata, wanita hamil yang diserang perlu mendapat rawatan kerana penyakit ini boleh menyebabkan kandungan berisiko mengalami keguguran, janin kecil dan kelahiran bayi pramatang.

Pesakit hamil sering muntah

"Biasanya, pesakit yang hamil diberikan ubat yang selamat dimakan dalam keadaan memerlukan.

"Ada kes pesakit hamil mengalami peningkatan hormon bagaimanapun keadaan ini berlaku sepanjang tempoh kehamilan.

"Mereka tidak memerlukan rawatan tetapi jika keadaan melarat seperti kerap muntah doktor akan memberikan ubat bagi mengurangkan keadaan itu," katanya.

Dr Fatimah Zaherah berkata, penyakit ini juga disebabkan faktor genetik, sekiranya ada keluarga yang menghadapi masalah sama, ahli keluarga lain berisiko diserang.

Fakta:

Kesan gangguan serangan

* Gangguan emosi

- Resah

- Gugup

- Emosi tidak stabil, cepat marah

- Gelisah sukar tidur

- Cemas

- Cirit-birit

Keadaan fizikal

- Mata terjojol

-Kurus

Gangguan hormon

- Putaran haid tidak teratur


Copy paste ~ Kpah k-poh ~

No comments: