KLIKKLIK

PROF DR IMELDA |  'Hypothyroid phase of Postpartum Thyroiditis'

Selepas darah nifas kering (iaitu tamat tempoh pantang), ada ibu-ibu rasa sejuk-sejuk badan, lesu dan cepat letih, berat badan mula naik semula, sakit-sakit badan?

-----------------------------------------------


Ramai ibu yang dapat simtom macam ini dituduh sebab tidak berpantang makan atau tak berpantang secara traditional betul-betul. Jangan bimbang, mummies. Ini bukan kesalahan ibu. Sebenarnya, Ini bukanlah sebab tidak berpantang. Tidak ada kena mengena dengan angin masuk dan tidak ada urat sejuk atau urat kembang.


Ada kemungkinan anda mengalami

 'Hypothyroid phase of Postpartum Thyroiditis'


Ini lah cara mengenalinya. Ibu-ibu mengadu:


1)Tak tahan kesejukan badan selalu, 

2)Kelesuan dan cepat letih, 

3)Sakit badan, 

4)Kulit kekeringan, 

5)Cepat pelupa dan tak boleh menumpukan perhatian,

6)Berat badan pada permulaannya turun tetapi kemudiannya naik balik dan 

7) Mungkin juga Kemurungan

-----------------------------------------------


Postpartum thyroiditis (PPT) ialah keradangan kelenjar thyroid di bahagian leher yang berlaku kepada 8 dalam 100 ibu selepas bersalin. 


Ia berlaku kerana terdapat perubahan sistem immune kebal badan selepas bersalin. Ini ialah penyakit autoimmune yang sementara sahaja. Pada permulaan, terlebih hormon thyroid dikeluarkan (hyperthyroid) tetapi kebanyakan ibu tidak merasa symptomnya, kemudiannya tidak cukup hormon thyroid (hypothyroid) pula kerana kelenjar thyroid tidak membuat cukup hormon thyroid untuk keperluan badan. 


Jika diserang penyakit PPT, ia akan berlaku antara 2 bulan hingga 12 bulan selepas bersalin. Jika ibu dapat PPT, selalunya ia berpanjangan sampai 4-6 bulan sebelum sembuh sendiri. Tetapi lebih kurang satu perlima ibu, atau 20% yang mungkin mendapat hypothyroid yang berterusan selepas 1 tahun. 


Penyakit PPT ini berlaku dengan lebih kerap lagi jika terdapat masalah ini:


A) Risiko mendapat PPT ialah 3 kali ganda lebih tinggi (iaitu 25 dalam 100 ibu) jika anda juga ada penyakit autoimmune yang lain, seperti diabetes type 1, sebagaimana yang saya sudah terangkan di posting sebelum ini. https://www.facebook.com/imelda.balchin/posts/10155048317576659


Jika anda ada penyakit autoimmune yang lain, PPT boleh bermula dengan lebih awal selepas bersalin, dan boleh juga mendapat keradangan sendi. 


B)Risiko mendapat PPT ialah 2 kali ganda lebih tinggi jika anda juga dikenalpastikan dengan penyakit kencing manis semasa hamil (gestational diabetes, GDM), iaitu boleh berlaku kepada 16 dalam 100 ibu yang ada GDM semasa hamil. 


C) Pernah mendapat PPT bila bersalin sebelum ini. Risiko PPT berulang selepas kelahiran di masa hadapan ialah 70%.


D) Terdapat ahli-ahli keluarga yang mempunyai masalah thyroid (baka keturunan juga boleh menyebabkan lebih risiko mendapat PPT)


E) Kekurangan zat iodine dalam pemakanan kita. Iodine diperlukan oleh badan untuk membuat hormon thyroid. 


Kajian telah menunjukkan yang di negara yang masyarakat kekurangan zat Iodine, seperti negara Brazil, PPT berlaku lebih kerap lagi, kepada 15 dalam 100 ibu selepas bersalin. 


Kajian di negara Malaysia pula telah menunjukkan yang setengah (50%) masyarakat Semenanjung Malaysia kekurangan zat iodine, terutamanya di Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Zat iodine boleh didapati dari makanan laut, ikan laut seperti kembung, selayang, tongkol, makanan laut lain seperti rumpai laut (seaweed), udang, sotong atau anda boleh beli Iodised salt, iaitu garam yang telah diperkayakan dengan Iodide.


Ikan haruan dan Ikan keli ialah ikan air tawar dan bukan Ikan laut, anda tidak akan mendapat cukup iodine daripada Ikan haruan. 


Petua orang lama kata makan ikan kering selepas bersalin. Ini sesuai untuk zaman dulu. Tetapi, zaman sekarang, ramai yang ada darah tinggi sebab berat badan yang berlebihan. Jadi ikan laut segar adalah lebih baik daripada ikan kering, sebab ikan kering tu terlalu banyak garam dan tak elok untuk tekanan darah. Anda tidak perlu membeli supplement. Anda tidak perlukan Jamu yang kita tak tahu apalagi bahan yang dicampur-aduk di dalamnya. 


Ada kemungkinan ibu di Malaysia lebih ramai mendapat PPT dari di negara lain, kerana negara Malaysia lebih ramai yang kekurangan zat Iodine. Sememangnya ibu yang hamil dan ibu yang menyusu memerlukan lebih lagi iodine dari pemakanan daripada mereka yang tidak hamil atau menyusu. 


Jika anda memerlukan bantuan doktor, sila berkunjung ke klinik kesihatan. Ramai Doktor yang tidak cukup pengalaman untuk memberi rawatan  PPT sebab ibu-ibu selalunya tidak datang bertanya tentang masalah ini dan penyakit PPT selalunya sementara dan sembuh semula. Jika perlukan bantuan, mintalah doktor memeriksa anda dan tanya sama ada Puan ada Postpartum Thyroiditis. Minta doktor mengambil darah untuk ujian thyroid function test (TFT). Jika TSH didapati sangat tinggi, anda boleh mendapat manfaat menerima rawatan ubat thyroxine buat sementara sehingga sembuh. 


Bukan sebab angin, bukan sebab urat kembang, dan bukan sebab tidak berpantang. Ada sebab lain kenapa ibu kita tidak sihat. 


Semoga ilmu pengetahuan ini boleh membantu ibu-ibu kita.


Prof Dr Imelda,

Pakar Perunding Maternal dan Fetal Medicine,

Pusat Perubatan Universiti Malaya,

Kuala Lumpur

No comments: